Tuesday, 15 November 2011

Artikel 3: BALKANISASI SIBER: GANGGUAN KEPADA SEMANGAT 1MALAYSIA

Abstrak

Konsep Balkanisasi media atau yang pertama kalinya diperkenalkan oleh Cass Sunstein[1] (2002) sebagai ‘balkanisasi siber’ memaparkan suatu analogi terhadap gejala media yang menjadikan khalayak terpisah, membentuk koloni masing-masing dan ganas pada kumpulan yang tidak sealiran dengan mereka. Pada terasnya, konsep ‘balkanisasi’ atau melalui kata akarnya ‘balkan’, diberikan kepada fenomena kebebasan negara-negara Balkan, khususnya Yugoslavia, yang membawa impak negatif dalam konteks perhubungan antarabangsa kerana kemerdekaan menjadikan mereka terpisah dan ganas sesama negara jiran. Dampak sedemikian juga mempunyai kebarangkalian dalam kalangan khalayak media kerana membolehkan penggunanya menempah bahan mengikut citarasa dan tuntutan-tuntutan peribadi (customisation and personalisation), terutamanya melalui Internet. Melalui Internet, khalayak tidak lagi perlu membaca bahan yang tersiar tetapi mempunyai kuasa dan kemudahan untuk memilih secara lewah dan wewenang apa sahaja bahan yang mereka mahu. Media cetak tertentu dalam sfera sosial di Malaysia yang diasak pula dengan kebebasan Internet dilihat mempunyai potensi yang sama untuk memecahbelahkan rakyat. Kertas kerja ini melihat perkembangan sedemikian sebagai suatu gejala yang tidak sihat. Falsafah demokrasi boleh tergugat kerana bahan-bahan yang mendukung pemikiran dan falsafah arus perdana seringkali diketepikan malah diganti dengan sentimen kebenciaan kepada kerajaan, kritikan melulu, fitnah, hilangnya profesionalisme kewartawanan, lewah politik serta mengangkat konflik politik sebagai nilai berita utama.


Pengenalan

‘Balkanisasi’ secara literalnya ialah konsep geopolitik yang bermaksud proses pemisahan negara-negara Balkan, khususnya Yugoslavia pasca-Perang Dingin,  yang digunakan untuk menggambarkan fenomena politik yang penuh dengan konflik antara sesama mereka. Negara-negara Balkan ini sememangnya bebas tetapi kebebasan yang dikecapi menjadikan mereka terpisah, menolak perkongsian maklumat, dan lantas pada suatu ekstrim, mereka menjadi ganas antara satu sama lain. Segregasi atau keterpisahan inilah yang dilihat bersinoniman dengan situasi media massa terutamanya Internet, yang membolehkan pengguna memperolehi apa sahaja bahan, secara lumayan dan boleh pula membentuk kumpulan-kumpulan yang bersefahaman tetapi terpisah antara satu dengan yang lain. Perlahan-lahan mereka menjadi obses dengan falsafah dan ideologi masing-masing yang menjurus untuk bertentangan dengan pemikiran arus perdana. Obsesi kepada anasir-anasir negatif yang ekstrim dalam masyarakat pastinya membawa padah. 

Di Malaysia hari ini kita lihat, atas nama dan paksi demokrasi, kebebasan media cetak lebih ketara dibandingkan pada zaman Tun Dr Mahathir: bermakna perubahan ketara sejak kira-kira 21 tahun dahulu sebelum Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih kerusi Perdana Menteri.

Akhbar politik seperti Harakah, Suara Keadilan, Siasah, Buletin Rakyat, Era Baru dan banyak lagi tabloid picisan yang lain, berada di pasaran tanpa sekatan, meskipun ada undang-undang yang mengehadkan penjualan akhbar politik tertentu kepada ahli-ahlinya sahaja. Situasi kebebasan sedemikian disokong pula oleh bahan-bahan politik daripada Internet. Malah lebih mendesak lagi, melalui sokongan sesawang web (WWW) pengguna boleh menempah (to customise) bahan yang mahu dibaca, ditonton atau didengari. Karektor ini tiada pada media tradisional. Misalnya apabila kita membeli surat khabar, apa yang boleh dibaca ialah apa yang disiarkan dalam akhbar itu sahaja. Selain daripadanya tidak akan kita peroleh. Hal yang sama juga terlihat pada radio, pada TV atau apa jua media tradisional yang wujud selama ini, namun tidak pada sesawang web.

Kebebasan media baru atau Internet, daripada penapisan pihak berkuasa seperti yang diperuntukkan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, juga dengan terangnya telah membangkitkan kesan negatif terhadap keharmonian sosial di negara ini.  Malah peruntukan kekebasan tersebut telah diulang melalui Bil Jaminan Koridor Raya Multimedia.

Namun kebebasan daripada kekangan penapisan tidak pula membebaskannya daripada Akta Fitnah, Akta Hasutan dan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Kita faham bahawa kebebasan yang diberikan kepada media baru mengangkat falsafah bahawa kerajaan mengutamakan percambahan maklumat, ilmu dan idea yang boleh membangunkan keupayaan intelek rakyat Malaysia seiring dengan bangsa lain yang sudah maju.  Di samping itu hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hub teknologi komunikasi dan informasi di Asia Tenggara, mendesak kerajaan supaya melayani kehendak pelabur asing dalam industri berkenaan.

Namun pada ketika ini kita dapat melihat elemen-elemen yang bertentangan dengan harapan kerajaan khususnya dalam konteks keharmonian sosial bagi masyarakat berbilang kaum.

Pertentangan ini dapat dikesan daripada kelewahan bahasa kesat dengan caci-cerca dan maki-hamun sesama kaum yang berlangsung melalui Internet.  Suasana sedemikian pastinya tidak membantu Gagasan 1 Malaysia apatah lagi membina hubungan empatetik antara pelbagai kaum, agama, budaya dan adat resam.


Tempahan dan citarasa

Katakan kita mahu mengetahui tentang pemain bola sepak Brazil, Pele,  melalui akhbar cetak arus perdana. Kita pasti tidak akan menemui berita Pele saban hari; hanya jika kebetulan ada kisah yang mendukung sesuatu nilai berita tentangnya baru kita akan menemui dalam akhbar atau di kaca TV.

Tetapi kita pasti menemui pelbagai kisah tentang melalui enjin carian Internet, katakan ‘Google’; apa yang perlu kita buat hanyalah menaip nama Pele dan pilih sama ada kita mahukan imejnya, beritanya, kumpulannya, bukunya atau gmelnya. Apa yang akan kita lihat melalui sesawang web, enjin carian akan memaparkan 22.6 juta bahan tentang Pele (sebagaimana yang saya layari pada 2 Nov 2008). Inilah konsep tempahan bahan mengikut citarasa dan tuntutan peribadi pengguna Internet.

Bayangkan apa akan terjadi jika peminat Pele yang berusaha membaca setiap berita dan maklumat tersebut?


Bahan informasi yang amat lewah

Kerana minat kita pada bintang bola sepak ini, mungkin kita mahu pula tahu tentang teman wanita Pele. Maka melalui Google kita akan dapati terdapat 9,920 kisah tentang Pele dan teman wanitanya. Boleh saja kita memperhalusi lagi carian itu dan seperti sebelumnya ribuan bahan yang akan kita temui. Ini memberikan gambaran betapa lewahnya bahan-bahan informasi yang boleh pengguna Internet peroleh.

Sifat Internet dan sesawang web yang lumayan dengan berita dan maklumat ini tidak akan kita temui pada media tradisional. Belum lagi kita bicarakan tentang kisah-kisah Pele yang tidak bertapis, belum lagi kita bicarakan tentang apa yang khalayak Internet tahu tetapi media arus perdana tidak ketahui, belum lagi kita bicarakan berita tentang Pele yang tidak diganggu dan ditapis oleh pengampang, editor mahupun pemilik media.

Apa pula berlaku jika kerana minat dan pemikiran kita yang serupa, kita tubuhkan ‘Kelab Pele’ melalui satu laman web, atau blog. Saban hari melalui pertemuan di kelab, laman web kelab, dan blog kelab kita akan bicarakan tentang Pele dan setiap sesuatu perkembangan yang berlaku padanya. Jangan hairan saban hari akan ada puluhan ribu maklumat baru yang akan kita ketahui tentang Pele dan segala yang berkaitan dengan bintang bola sepak itu. Kerana bahan-bahan yang terdapat terlalu banyak, pastinya kita tidak boleh membuat apa-apa kerja selain daripada membaca, menonton, dan mendengar kisah-kisah Pele serta segala yang berkaitan dengannya.


Segregasi dan ganas

Dalam situasi sedemikian, kita dan ahli-ahli kelab terdedah kepada sikap menolak kelab lain yang tidak meminati Pele. Jika berlaku pertembungan antara Kelab Pele dan Kelab David Beckham misalnya, pastinya akan terbuka suatu konflik dan krisis antara ahli-ahli kedua-dua kelab ini.

Fenomena sedemikian akhirnya akan menjerumuskan peminat-peminat Pele kepada gejala yang dikatakan sebagai obsesi; suatu sikap taksub yang ekstrim. Fenomena inilah yang secara kasarnya diistilahkan sebagai ‘balkanisasi’.

Mungkin tidak begitu signifikan untuk kita kaitkan fenomena balkanisasi ini dengan Pele. Namun katakan kita gantikan Pele dengan pelakon video lucah atau pornografi atau anarkisme atau parti politik komunis atau gangsterisme, atau pengganas atau dadah atau apa juga yang boleh mengancam negara dan masyarakat. Inilah yang dibimbangi oleh Cass Sunstein (2001) dengan teori Internet-balkanisasion.

Hal sedemikian mungkin tidak relevan pada media cetak. Namun cuba bayangkan sekiranya bahan-bahan kebencian, anti-kerajaan, kritikan pedas yang tidak berasas kerana sumbernya tiada kredibiliti, fitnah, hasutan dan gejala-gejala negatif yang lain dipaparkan saban hari, pastinya terbangkit juga gejala balkanisasi media massa sebagaimana yang disarankan oleh Cass Sunstein.  Kita pernah melihat suatu ketika dahulu bagaimana label-label tertentu diberikan kepada akhbar arus perdana seperti ‘Utusan Meloya’ dan “Berita Hairan’ lalu khalayak memberikan perhatian alternatif kepada akhbar-akhbar tabloid politik pembangkang.

Ia menjadi amat bahaya sebagaimana bahayanya ajaran ‘Ayah Pin’ atau fahaman ‘Al-Maunah’, 13 Mei, Insiden Kg Rawa dan Kg Medan dan banyak lagi kepada keselamatan negara (sila lihat Means 1976; Andaya and Andaya 1982; Mohd Hamdan 1993; Malek 2000; Pereira 2001; Rahmat Ghazali 2008). Gejala balkanisasi ini boleh sahaja menyelinap masuk ke dalam jiwa raga pelayar Internet melalui apa juga yang mereka minati dan taksub. Bayangkan seseorang yang sudah terobses dengan pornografi, pastinya ia akan melihat komputer sebagai sumber seksnya yang lumayan yang saban hari pastinya digantikan pula dengan bahan-bahan baru dan terkini. Obsesi sedemikian boleh sahaja mengheretnya untuk mencuba apa jua yang diperoleh daripada dunia maya kepada dunia realitinya. Akhirnya ia boleh sahaja terjerumus sebagai seks maniak dan tidak hairan ia sanggup merogol, dan membunuh tanpa mengira siapa mangsanya. Adakah ini menjadi punca kepada terbunuhnya Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun pada suatu ketika dahulu.


Balkanisasi dan gejala genjot sosial

Banyak puncanya yang boleh dijadikan hipotesis. Namun saya suka mengangkat teori Cass Sunstein (2001) tentang gejala obsesi yang dirangsangkan oleh Internet kerana sifatnya yang ‘merdeka’, tiada tapisan, amat peribadi dan selalunya khalayak bersendirian dengannya. Kita sedar bahawa Internet bukan sahaja menjadi sumber maklumat, tetapi ia juga dilihat sebagai tempat lambakan maklumat; daripada maklumat yang bersifat keilmuan sehinggalah kepada unsur-unsur pornografi.

Bayangkan seorang remaja yang membuka emelnya didatangi oleh ‘spam’ atau iklan yang berunsurkan seks, sama ada secara ‘imbasan’ atau ‘pop ups’, atau sememangnya dikirimkan kepada alamat emelnya tanpa dipinta. Hal ini bukan perkara luar biasa kerana alamat emel bukan menjadi rahsia awam. Soalnya sekarang sama ada remaja berkenaan mahu cuba meneroka laman web iklan tersebut atau terus membuangnya dan mengisytiharkannya sebagai ‘spam’ atau ‘bahan buangan’.

Namun antara punca yang mengheret seseorang itu kepada gejala seksual ialah naluri ingin tahu serta ekspektasi yang menghantui dan berlegar pada mindanya. Maka kebarangkalian seseorang itu terangsang untuk terus meneroka laman web sedemikian amatlah tinggi kerana situasi bebas, peribadi, dan berseorangan; kecualilah jika khalayak sedar dan insaf tentang gejala negatif berkenaan yang bertentangan dengan ajaran agama dan nilai budaya. Namun bagi manusia remaja yang disifatkan oleh sarjana psikologi sebagai berada dalam zaman ‘tegang dan revolusioner’ (Hall, 1904) pastinya naluri ingin tahu itulah yang lebih dominan.

Sunstein mengkaji sifat-sifat Internet sebagai suatu kuasa yang boleh mengheret khalayak meneroka jauh ke suatu dimensi yang memisahkan mereka dengan khalayak awam kerana khalayak boleh ‘membuat tempahan kandungan’ atau apa yang Sunstein istilahkan sebagai ‘customisation of content’. Apatah lagi khalayak dipermudahkan pula dengan teknologi ‘hiperlink’ Internet yang membolehkan mereka mencapai laman web lain yang menawarkan bahan-bahan yang serupa tetapi berlainan intipatinya. Dengan kata-kata lain, melalui hiperlink, khalayak disajikan dengan pilihan-pilihan lain tetapi atas falsafah yang sama.

Pada mulanya remaja berkenaan hanya dimaklumkan tentang alamat laman web dan apa yang terkandung dalamnya. Kemudian setelah lawatan dibuat, ia disajikan dengan audio, visual dan video tertentu yang menjurus kepada tarikan-tarikan yang lebih terperinci lagi. Melihat daripada teori Sunstein, dalam konteks laman web yang berunsurkan seks tersebut, pelawat akan diberikan ribuan pilihan; wanita/lelaki Asia, Eropah, Timur Tengah dan sebagainya; kemudian pelawat boleh membuat pesanan yang lebih terperinci lagi seperti memilih wanita/lelaki Asia, China, Jepun, Indonesia, Thailand, Filipina dan lain-lain lagi. Proses ini berlarutan sehingga pelawat juga boleh memilih perempuan/lelaki dewasa, remaja atau kanak-kanak. Kemudian pelawat akan disajikan dengan kandungan, audio, visual dan video yang lebih eksklusif.

Gejala tempahan atau ‘customisation’ sedemikian itulah yang menurut Sunstein, akan mengheret pelawat atau khalayak laman web berkenaan perlahan-lahan, saban hari dan lama-kelamaan, menjadi obsesif. Tidak cukup dengan elemen-elemen audio, visual dan video, remaja berkenaan mungkin mahu merasainya melalui pengalaman langsung. Namun menurut Sunstein lagi, proses obsesi itu tidak akan tamat begitu sahaja, ia akan berterusan sampai bila-bila sehingga menjadikannya manusia ‘split personality’ atau manusia dua personaliti; di hadapan para sahabatnya ia manusia normal yang sempurna akalnya, tetapi ia menjadi ‘haiwan’ ketika bersendirian atau ketika gejala obsesi itu berlangusng secara bawah sedar.



Membina koloni

Lebih membahayakan bagi Sunstein, sekiranya pelawat Internet sedemikian mula membina koloni mereka sendiri daripada khalayak yang mempunyai minat dan keinginan yang serupa. Pada peringkat ini, menurut Sunstein mereka menjadi ‘ganas’ pada kumpulan-kumpulan lain yang tidak sealiran dengan mereka. Kita boleh lihat gejala ini dalam kes Mat Rempit, Agama sesat ‘Ayah Pin’ dan lain-lain.

Dalam konteks media cetak, bayangkan apabila pembaca saban hari diasak dengan berita-berita yang mengheret mereka kepada kelemahan kerajaan. Daripada kajian mini saya, tabloid politik seperti Harakah dan Suara Keadilan mengandungi 97% berita politik dan 90% daripadanya menyuntik kebencian terhadap kerajaan dengan mengangkat konflik politik sebagai nilai berita utama.

Seperti kata Hitler (sebagaimana dipetik Mohd Hamdan Adnan, 2008:244), ‘sesuatu penipuan pun boleh diyakini kebenarannya jika sering diulangi’. Malah Hitler juga menegaskan bahawa lebih besar pembohongan itu, maka lebih besar pula tendensi masyarakat untuk mempercayainya (Mohd Hamdan Adan, 2008). Inilah yang kita bimbangi dengan situasi kebebasan media cetak kita hari ini.

Kebimbangan ini bukanlah bermaksud bahawa kekebasan media hendaklah disekat. Apa yang disarankan ialah kebebasan media hendaklah disertai dengan etika tanggungjawab dan profesionalisme.

Demokrasi hendaklah diterima dengan cara membuka minda pengamal kepada bahan maklumat daripada pelbagai pihak, terutamanya dua pihak yang berkonflik, supaya pertimbangan wajar boleh dibuat. Jika khalayak hanya merujuk kepada Harakah atau Suara Keadilan semata-mata, maka besar kemungkinan akan berlaku obsesi mental yang hanya menerima apa saja yang dipaparkan oleh media berkenaan tanpa mahu lagi membuka minda untuk mengimbangi dan justifikasi terhadap apa yang dibaca.

Gejala obsesi media bukanlah perkara yang aneh dalam kalangan ahli masyarakat. Pembunuhan di Columbine High School Amerika Syarikat suatu ketika dahulu, telah mebuktikan bahawa pihak yang terlibat telah terpengaruh dan amat taksub atau obses dengan apa yang dibaca dan diterima melalui media, khususnya Internet.
Pakar psikologi menganggarkan 10% daripada pengguna Internet telah dijangkiti ‘gangguan penagihan Internet’ atau ‘Internet addiction disorder’ satu situasi psikologi yang boleh mengakibatkan ketegangan dan kemurungan yang teruk (Rick Nauert, 2008). Malah dua orang ketua editor akhbar dalam talian yang pernah saya temubual telah menyatakan bahawa, unsur sensasi sering digunakan untuk menarik perhatian khalayak. Mereka juga bersetuju bahawa berita-berita dalam laman web berita mereka lebih banyak diisi oleh berita-berita politik kerana itu yang diminati oleh masyarakat.


Balkanisasi Mengancam Perpaduan Kaum di Malaysia

Titah DYMM Tuanku Mizan pada 15 Mac 2010 lalu, khususnya tentang kebiadaban dan bahasa kesat pengguna Internet, tidak boleh dipandang enteng, apatah lagi kebebasan media baru boleh saja tercerna dengan unsur-unsur fitnah, pembohongan, hasutan, dan prejudis yang tebal dengan sentimen perkauman.  Malah bahasa kesat dan sifat kebiadaban sedemikian telah mula menular ke dalam parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Kita sudah pernah melihat tempikan ahli-ahli parlimen dengan kata-kata seperti ‘beruk’, ‘orang utan’, ‘kurang ajar’ dan sebagainya yang tidak mewajarkan kematangan pemimpin rakyat, apatah lagi apabila kata-kata kesat sedemikian diujarkan di dewan yang mulia seperti Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Setakat 20 Mac 2010, kajian singkat yang diperoleh daripada enjin carian Google mendapati bahawa caci-cerca dan maki-hamun sesama kaum oleh golongan dan individu yang tidak bertanggungjawab amat lumayan (Rahmat Ghazali 2010).


Kata-kata kesat
Jumlah laman web, blog, portal maklumat dll yang mengandungnya
“Melayu”+ “Babi”
703,000
“Melayu”+ “Sial”
139,000
“Melayu”+ “Celaka”
108,000
“Cina”+ “Babi”
661,000
“Cina”+ “Sial”
119,000
“Cina”+ “Celaka”
82,000
“Keling”+ “Babi”
116,000
“Keling”+ “Sial”
15,900
“Keling”+ “Celaka”
41,600
















Rasa gundah DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, sebagaimana yang dititahkan pada 15 Mac itu, amat signifikan sekali dengan senario media baru dan statistik yang dipaparkan.

Senarai dapatan sedemikian belum lagi memasukkan unsur-unsur pornografi, ajaran sesat, keganasan global, kaedah membunuh diri, cara-cara membuat bom dan ribuan kegenjotan sosial yang tidak pernah kita fikirkan. Malah gejala penggunaan kata-kata kesat itu juga berbaur dengan kempen kebencian terhadap sesuatu kaum.

Tanpa mahu menuding jari siapa dan kaum manakah yang menulis bahasa kesat sedemikian dan atas konteks apakah tulisan itu dimuat naik, maki-hamun sedemikian pastinya tidak membantu negara multietnik seperti Malaysia khususnya dalam usaha negara menyemarakkan perpaduan kaum.

Dengan data penggunaan kata-kata kesat seperti yang dipaparkan, tidak hairanlah jika negara seperti Iran (pada awal Feb 2010) telah mengharamkan enjin carian ‘Google’.  Pastinya tindakan kerajaan Iran adalah untuk mencegah carian-carian maklumat dan berita yang boleh merosakkan minda masyarakat serta keharmonian negara. Namun kita pasti, itu bukanlah penyelesaian yang berkesan.


Persoalan pada pentas sosio-politik Malaysia

Teori Sunstein dalam konteks Malaysia mungkin tidak begitu signifikan. Namun satu aliran fahaman yang mula mempersoalkan isu-isu yang sebelumnya tidak pernah disentuh. Misalnya, antara lain isu hak dan keistimewaan Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan dan bahasa pengantar di IPT, isu perhubungan dan diskriminasi etnik bukan peribumi, agama Islam sebagai agama rasmi, dan isu masjid, gereja dan kuil, telah diasak oleh golongan tertentu. Meskipun pada dasarnya, tekanan terhadap isu-isu tersebut adalah bertentangan dan mencabar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, namun ia tetap lewah diasak melalui media tertentu serta golongan dan kumpulan tertentu sama ada yang tertegak atas platform politik atau badan-badan sosial.

Mungkin tidak begitu signifikan untuk menyimpulkan gejala sedemikian sebagai kesan langsung daripada gejala balkanisasi media. Tetapi saya percaya bahawa kecenderungan ke arah itu sudah pun bertapak, kerana pengalaman kita terhadap kes Ayah Pin, Al-Arqam, Hindraf, Tabligh, Al-Maunah, Tragedi Memali, malah tragedi[2] 13 Mei 1969 menjurus kepada persoalan balkanisasi, yang boleh sahaja terbina daripada pelbagai faktor, dan saya tidak menolak kebarangkalian yang membabitkan media (tidak semestinya media arus perdana).


Kesimpulan

Balkanisasi media mempunyai potensi untuk mensegregasikan khalayak kerana minat, kecenderungan serta sentimen kumpulan yang menolak kehadiran khalayak lain yang tidak sealiran dengan pemikiran, minat dan kecenderungan mereka. Maklumat dan polisi pihak kerajaan yang dilihat amat penting sebagai mekanisme pembangunan serta demokrasi akan tergugat kerana rakyat hanya memberikan perhatian kepada apa yang mereka minati.

Media arus perdana sama ada media cetak atau elektronik membawa falsafah tertentu dan menjurus kepada kepelbagaian idea, pandangan, cadangan, kritikan, analisis, komentar dan sebagainya untuk dikongsi bersama supaya pemikiran rakyat lebih terbuka. Namun dengan gejala balkanisasi media ini rakyat akan menjadi kelompok-kelompok kecil yang taksub dan terasuk dengan satu bentuk tingkahlaku, sikap dan pemikiran genjot. Soal perpaduan dalam kalangan rakyat menjadi tidak relevan lagi. Insiden seperti Al-Maunah, Memali, Hindraf, Gelombang Kuning, gejala obsesi pornografi dan gejala sosial lain yang menjurus kepada gejala obsesi dan ketaksuban mempunyai pertalian yang signifikan terhadap gejala balkanisasi media ini. Yang kita bimbangkan ialah gejala anarkis, fitnah dan hasutan seperti yang kita lihat pada kes-kes tertentu seperti ‘Muslim terrorist’ yang telah menghina penganut agama Islam.

Kita curiga, sebagaimana yang pernah ditulis oleh Goh Cheng Teik (1978), suasana panas sedemikian boleh sahaja diterjemahkan sebagai persekitaran yang dibayangi oleh ‘bom jangka’.  Ia boleh meledak bila-bila masa sahaja.

Apa yang lebih membimbangkan, sebagaimana yang pernah didedahkan oleh Presiden Perikatan Bloggers Kebangsaan, Datuk Ahirudin Attan,  dalam satu Kolokium di UiTM tahun lalu, 50% daripada ahli-ahli kesatuannya menolak etika kewartawanan. 

Etika itu sendiri dalam konteks kebebasan media, adalah kekangan kepada falsafah kebebasan media. Namun kelihatannya ramai antara pengguna Internet lupa bahawa kebebasan mutlak akan menurunkan martabat manusia yang berakal dan bertamadun kepada tahap haiwan yang hidup dalam persekitaran hukum rimba.

Kita yakin demokrasi juga menentang falsafah kebebasan mutlak sedemikian kerana kekebasan itu harus ditunjangi oleh tangjungjawab dan akauntabiliti semua pengguna Internet. Ertinya kebebasan media baru juga haruslah ditunjangi etika kewartawanan.



Rujukan

Cass Sunstein, 2001. Republic.com. Princeton University Press, Princeton.
Andaya, B. W. and L. Y. Andaya (1982). A History of Malaysia. London, The Macmillan Press.
Hall. G. Stanley (1904) Adolescence: Psychology and Its Relations to Physiology, Anthropology, Sociology, Sex, Crime, Religion and Education. New York:  D. Appleton.
Malek, Z. A. (2000). UMNO's dangerous racial politics.  Retrieved 1 October, 2003, from http://www.malaysia.net/lists/sangkancil/2000-08/msg00002.html.
Means, G. P. (1976). Malaysian Politics. New York, Mac Millan and Co.
Mohd Hamdan, A. (1993). Democratisation of the Malaysian Mass Media: Political and Social Implications. Communications and Democracy. S.Splichal and J.Wasko. New Jersey, Ablex Publishing Corp.
Mohd Hamdan, A (2008). Perkembangan Perhubungan Awam Kerajaan dan Politik Malaysia, Shah Alam, UPENA.
Nauert, Rick. (2008), Internet Obsession or Addiction, Psych Central, Retrieved 2 Nov 2008 from http://psychcentral.com/news/2007/08/18/internet- obsession -or-addiction/1152.html
Pereira, B. (2001). KL's urban strife bares poverty cuts across race.  Retrieved 12 Oct 2003, 2003, from http://www.geocities.com/sounvx/poverty.htm.
Rahmat Ghazali. (18 April 2010). Kesan kebiadaban dunia siber. Utusan Malaysia.
Rahmat Ghazali. (2008). Online Journalism on Malaysian Socio-Political Landscapes. Shah Alam, UPENA.
Teik, G. C. (1978). Integration in a Plural Society: the Chinese in Malaysia. The Straits Echo Press, Kuala Lumpur
Tunku A Rahman 1969. May 13: Before and After. Kuala Lumpur: Utusan Melayu Press.




[1] Sila lihat Cass Sunstein, 2001. Republic.com. Princeton University Press, Princeton.

[2]  Dalam bukunya Before and After 13th May, Tunku Abdul Rahman (1969) telah melihat  media massa sebagai antara faktor penyebab kepada perbalahan kaum tersebut.

0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Design by Free WordPress Themes | Edited by Dr Rahmat Ghazali - Premium Blogger Themes | GreenGeeks Review