Kebebasan siber telah dimaktubkan melalui Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) yang mencatatkan dengan jelas bahawa “Tiada apa-apa jua dalam Akta ini boleh ditafsirkan sebagai membenarkan penapisan Internet (AKM 1998:3.3)”. Perakuan yang tuntas itu diulangi melalui Bil Jaminan Koridor Raya Multimedia.
Daripada pandangan golongan akademik, jaminan sedemikian tidak lain dan tidak bukan adalah untuk membina keyakinan daripada syarikat-syarikat ICT serta pelabur antarabangsa untuk sama-sama terlibat menjayakan projek hub ICT Malaysia di Cyberjaya dan Putrajaya (sewajarnya Cyberjaya dieja Siberjaya).
Akta Komunikasi dan Multimedia tersebut telah dimaktubkan pada tahun 1998 ketika negara sedang berdepan dengan kancah konflik politik antara mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Timbalannya Datuk Seri Anwar Ibrahim. Secara umum, ramai para sarjana berpendapat bahawa AKM 1998 akan membuka ruang siber yang amat lumayan kepada kedua-dua pihak yang bertelagah untuk menghamburkan serangan politik masing-masing dalam ruang yang tiada batasnya, apatah lagi dengan jaminan kebebasan yang diberikan.
Namun ironinya parlimen Malaysia telah meluluskan AKM 1998 yang pastinya mengangkat falsafah dan dasar bahawa pembangunan teknologi informasi dan komunikasi (ICT) negara serta hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hub ICT di rantau Asia Tenggara mengatasi paradoks yang akan diheret bersama kebebasan siber itu. Maka sebaik-baik sahaja AKM 1998 dimaktubkan terhamburlah laman-laman web seperti Mahafiraun, Mahazalim, dan banyak lagi yang menyerang mantan Perdana Menteri ketika itu. Nilai-nilai budaya Melayu seperti budi bahasa, kesopanan dan kesusilaan, terlebur dan banyaklah maki-hamun dan sumpah- seranah yang tidak mahu kita lihat terhambur melalui ruang siber.
Meskipun kekebasan siber yang diaktakan hanya menjurus kepada kebebasan daripada penapisan pihak berkuasa, namun dalam soal kandungan, pihak pengguna siber terikat juga dengan Akta Hasutan 1969, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Fitnah 1957, Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 dan akta-akta lain yang berkaitan dengan media. Keistimewaan yang amat dirasai ialah kebebasan siber daripada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP) sebagaimana yang dikenakan kepada media tradisional. Antara kekangan yang paling menggusarkan pihak media tradisional ialah sistem perlesenan yang mesti diperbaharui setiap tahun. Walau bagaimanapun kawalan terhadap gelagat pengguna siber sememangnya amat payah untuk dilaksanakan dan sesetengah sarjana media bersetuju bahawa kawalan terhadap kandungan siber ‘hampir mustahil untuk dikuatkuasakan’.
Internet bukanlah media ‘baru’ sebagaimana yang sering diuar-uarkan oleh sesetengah sarjana. Di Malaysia kewartawanan siber telah wujud sejak 1995 apabila akhbar The Star melancarkan versi sibernya (yang pertama di Malaysia) diikuti oleh akhbar New Straits Times. Namun pada ketika itu ramai yang tidak mengendahkan kewujudan berita dan informasi siber sedemikian. Hal ini mungkin kerana tanggapan bahawa tiada jaminan terhadap kebebasan siber sebagaimana tanggapan umum terhadap kekangan dan kawalan yang dikenakan kepada media tradisional yang lain di Malaysia. Lihat sahaja apa yang berlaku pada 1987 melalui Operasi Lalang; empat buah akhbar telah digantung lesen, manakala terdapat juga yang diberikan amaran keras. Melalui operasi itu juga 97 orang termasuk ahli politik, penggiat Pertubuhan Hak Asasi Manusia, guru dan wartawan telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960.
Namun mungkin juga pada sekitar 1995-1997 apabila akhbar versi siber tempatan diperkenalkan, ramai yang belum memiliki komputer pada ketika itu. Menurut Internet World Stats, pada tahun 1997 hanya terdapat 137,400 pengguna Internet di Malaysia. Jumlah tersebut meningkat secara mendadak kepada 1.5 juta pada tahun 1999 dan pada hari ini terdapat kira-kira 17 juta pengguna Internet di Malaysia atau 65.7% daripada keseluruhan jumlah penduduk Malaysia. Jumlah yang besar sedemikian mengatasi mana-mana jumlah pembaca akhbar, termasuk akhbar terlaris di Malaysia seperti Harian Metro (2.67 juta). Secara prinsipnya media siber lebih berpotensi untuk menyebarkan maklumat kepada pengguna yang lebih besar jumlahnya berbanding dengan media tradisional. Secara teorinya ia juga lebih berkuasa dalam konteks mempengaruhi khalayak. Namun media ini tidak mempunyai sebarang kekangan terhadap kandungannya. Malah menurut Ahiruddin Attan, Presiden Pakatan Kebangsaan Penulis Blog Malaysia, 50% daripada penggiat blog di Malaysia menolak etika kewartawanan kerana ia dilihat sebagai mekanisme mengekang kebebasan siber.
Jumlah Pengguna Internet di Malaysia
1997 | 137,400 |
1998 | 600,000 |
1999 | 1,500,000 |
2000 | 3,700,000 |
2001 | 5,700,000 |
2002 | 7,800,000 |
2003 | 8,600,000 |
2004 | 9,002,000 |
2005 | 10,040,000 |
2006 | 11,016,000 |
2007 | 13,528,000 |
2008 | 15,274,000 |
2009 | 16,902,600 |
2010 | 17,200,000 |
Sumber (IWS 2009)
Negara Malaysia yang tercinta ini, amat unik dalam beberapa aspek sosio-politiknya. Malaysia tidak boleh disamakan dengan negara Asia Tenggara yang lain. Dalam konteks komposisi kaum, Thailand misalnya, dibina oleh lebih 90% rakyat peribumi Thai, begitu juga Indonesia, Filipina, Brunei Darussalam, Vietnam, Laos, Kambodia dan Myanmar. Singapura, meskipun merupakan negara yang diperintah oleh kaum pendatang Cina, namun komposisi kaum Cina amat signifikan iaitu 76% daripada jumlah 4.8 juta.
Walaupun kaum Melayu ditanggapi sebagai kaum yang dominan di Malaysia, namun jumlah penduduk Melayu tidaklah begitu dominan; hanya sekitar 65% terdiri daripada etnik Melayu-Bumiputera (50% di Semenanjung dan 15% lagi di Sabah dan Sarawak). Ditambah pula dengan segregasi politik, kita dapat melihat bahawa kaum Melayu terpecah kepada tiga komponen iaitu UMNO, PAS dan Keadilan. Aspek ini harus juga menjadi pertimbangan untuk melihat kestabilan sosio-politik Malaysia kerana terdapat banyak aspek dalam sistem sosio-politik Malaysia yang menganjurkan kecenderungan ke arah segregasi sosial. Misalnya sistem pendidikan Malaysia membenarkan kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan, media massa Malaysia juga terpecah kapada media yang berasaskan etnik (Utusan Melayu, Nan Yang Siang Pau, Tamil Neesan), bahasa pertuturan juga condong kepada bahasa ibunda masing-masing, segregasi agama, segregasi budaya, segregasi institusi politik, malah segregasi paras rupa juga melebarkan ruang asimilasi kaum. Agak relevan jika konsep Satu Malaysia dinagkat sebagai gagasan negara pada era Datuk Seri Najib ini.
Sejarah telah menunjukkan bahawa telah banyak berlakunya perbalahan kaum di Malaysia. Antara tahun 1945 sehingga 2008 terdapat kira-kira 30 peristiwa perbalahan kaum yang direkodkan di seluruh negara (sila rujuk Andaya dan Andaya 1982, Malek 2000; Means 1976, Mohd Hamdan 1993; Pareira 2001; dan Rahmat 2008).
Landskap sosio-politik sedemikian telah menjadikan media massa Malaysia amat sensitif dalam hal-hal yang menyentuh soal etnik, apatah lagi soal agama, kepercayaan dan budaya. Malangnya media massa Malaysia (termasuk media arus perdana) tidak dapat lari laripada semangat ‘nasionalisme kaum’ atau mungkin agak kasar jika digunakan istilah etnosentrisme.
Utusan Melayu pastinya amat tebal dengan ke-Melayuannya. Hal ini tidak harus dilihat sebagai satu kesalahan kerana itulah falsafah kelahiran Utusan Melayu sejak sebelum Merdeka lagi. Namun jarang yang cuba menyelinap betapakah tebalnya ‘etnosentrisme’ akhbar-akhbar Cina dalam hal memperjuangkan kepentingan kaum Cina itu sendiri. Amat malang lagi apabila ramai kaum Melayu tidak tahu berbahasa Mandarin, apatah lagi membaca akhbar berbahasa Mandarin. Sebaliknya ramai kaum Cina termasuk golongan akademik dan sarjana yang tahu berbahasa Melayu.
Kebebasan media sememangnya adalah sesuatu yang wajar. Namun sejauh manakah kebebasan media yang harus diwajarkan? Apakah kebebasan mutlak sehingga kata-kata maki-hamun, caci-cerca, fitnah, pembohongan, dan emosi harus diwajarkan atas nama kebebasan media? Senario sedemikian dalam media siber semakin hari semakin serius. Mantan Perdana Menteri seperti Tun Mahathir dan Tun Abdullah Badawi pernah diserang dengan kata-kata yang tidak bermaruah seperi ‘gila’, ‘bodoh’, ‘ular tedung’ dan bermacam-macam-macam lagi yang amat memilukan. Apakah ini yang dinamakan kebebasan? Dan apakah kebebasan sedemikian yang kita mahu?
Media siber adalah media yang telah menggabungkan segala sifat-sifat media tradisional; tekstual, audio, video, animasi, grafik, foto, slaid dan segala-galanya yang ada pada media tradisional. Ia dianggap oleh sesetengah sarjana komunikasi sebagai media ‘superior’ yang tidak boleh ditandingi oleh media tradisional dalam konteks teknologinya serta karektor canggihnya. Dengan ruang dan arkibnya yang amat besar, media siber menjadi tempat longgokkan maklumat yang amat besar, namun amat mudah diakses.
Selain itu media siber juga telah merobah falsafah kewartawanan; cara mendapatkan berita, cara menerbitkan berita dan cara berita disebar-luaskan. Apa yang penting ialah, media siber telah mewujudkan suatu bentuk komunikasi baru yang interaktif secara dua-hala antara editor dan khalayak, yang diistilahkan sebagai komunikasi vertikal, dan antara khalayak dengan khalayak yang diistilahkan sebagai komunikasi horizontal.
Daripada sifat media siber yang sedemikian, khalayak sudah boleh berhubung dengan sumber berita dan dengan itu juga khalayak boleh mencabar kebenaran sesuatu berita.
Segala sifatnya yang sedemikian diperkukuhkan lagi dengan keupayaannya untuk membenarkan khalayak mengakses berita mengikut cita-rasa dan menempah berita tersebut dengan pantas dan effisien. Misalnya, katakan masyarakat Malaysia mahu mengetahui tentang tokoh-tokoh tertentu seperti pejuang anti-aparteid, Nelson Mandela; khalayak hanya perlu memasukkan nama Nelson Mandela ke dalam ruang carian (misalnya Google) dan khalayak akan memperoleh 5.76 juta artikel, blog dan laman web (sebagaimana diperoleh pada 11 Feb 2010) yang membicarakan tentang Mandela.
Carian ini boleh dicitarasakan dengan menempah pula aspek-aspek lain tentang Mandela, misalnya ‘Keluarga Nelson Mandela’ (Nelson Mandela’s family) dengan memasukkan frasa berkenaan ke dalam ruang carian. Khalayak akan memperoleh 3.33 juta artikel, blog dan laman web (sebagaimana diperoleh pada 11 Feb 2010) yang membicarakan tentang hal berkenaan. Khalayak bukan sahaja akan memperoleh lambakan maklumat, tetapi khalayak juga boleh mengaksesnya dengan pantas.
Kita tidak gusar sekiranya khalayak ingin mengakses bahan-bahan tentang tokoh-tokoh politik, NGO, atau selebriti. Namun dengan kebebasan media siber, khalayak juga boleh mengakses maklumat yang bersifat antiarus perdana seperti fahaman anarkisme, pengganas, agama sesat, kemurtadan, antiagama, pornografi dan lain-lain lagi. Misalnya khalayak dengan mudah boleh mengakses maklumat tentang ‘Bagaimana cara membuat bom untuk membunuh orang’ (How to make bomb to kill people). Sebagaimana diperoleh pada 11 Feb 2010, terdapat 8.55 juta artikel, blog dan laman web yang membicarakan tentang cara untuk membuat bom bagi tujuan membunuh. Inilah antara paradoksnya media siber.
Pada Jun 2009, Setiausaha Agung UNESCO, Ban Ki-Moon pernah menguar-uarkan supaya semua ahli masyarakat membantu untuk menghapuskan kempen kebencian yang amat lewah melalui Internet (dipetik daripada UNESCO 2009). Antara kempen kebencian yang dimaksudkan oleh Ki-Moon ialah kempen kebencian terhadap Islam. Pastinya kempen kebencian sebegitu mengandung fitnah, pembohongan dan hasutan sebagai mekanisme pemujukan yang boleh menyumbang kepada balkanisasi siber.
Adolf Hitler pernah berkata, “Sesuatu pembohongan pun boleh diyakini kebenarannya jika sering diulangi.” Malah Hitler menambah, “Lebih besar sesuatu pembohongan, maka ahli masyarakat akan lebih mempercayainya”.
Internet hendaklah digunakan sebagai wahana kewarganegaraan terutamanya dalam merungkai isu dalaman negara sendiri dan sedikit-sebanyak hal global. Dengan itu khalayak akan berterusan meluaskan pandangan dunia mereka setelah menguji tanggapan dan pandangan mereka sendiri dengan cara mempelajari dan menilai pandangan orang lain yang mungkin berbeza. Sesuatu perbezaan pandangan haruslah dilihat sebagai nilai yang positif yang boleh mencambahkan dan memperluaskan ruang pemikiran. Insiden seperti Al-Maunah, Memali, Hindraf, Gelombang Kuning, gejala obsesi pornografi dan gejala sosial lain yang menjurus kepada gejala obsesi dan ketaksuban mempunyai pertalian yang signifikan terhadap gejala balkanisasi media ini. Yang kita bimbangkan ialah gejala anarkis, fitnah dan hasutan seperti yang kita lihat pada kes-kes tertentu seperti ‘Muslim terrorist’ yang telah menghina penganut agama Islam.
0 comments:
Post a Comment